Ahad, 21 Mei 2017

Tiada amaran jangkitan coronavirus pada kurma - KP Kesihatan

Posted by Editor
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan bahawa tiada sebarang amaran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkaitan isu jangkitan coronavirus yang disebabkan oleh kelawar ke atas buah kurma.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihak Kementerian Kesihatan telah membuat semakan mengenai perkara itu dengan pihak WHO bagi mendapatkan maklumat sama ada terdapat sebarang amaran atau makluman yang telah dikeluarkan oleh negara timur tengah atau negara lain.

“Pihak WHO memaklumkan buat masa ini tiada amaran berkaitannya yang dikeluarkan oleh pihak WHO mahupun Kementerian Kesihatan negara yang dinyatakan.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak mempercayai berita-berita yang tidak tepat yang boleh mengelirukan dan boleh menimbulkan panik di kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, isu jangkitan coronavirus yang disebabkan oleh kelawar ke atas buah kurma dari negara timur tengah tular di media sosial.

Sementara itu, Noor Hisham berkata perkongsian mesej tular yang tidak tepat boleh menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat dan menggugat kesejahteraan umum.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat,” katanya.

— BERNAMA