Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata, banyak contoh di sekeliling masyarakat hari ini yang leka dengan permainan tersebut sehingga melewatkan ibadah serta tugasan yang seharusnya dilakukan.
“Kerana itu main dam pun sama sahaja dengan catur. Di Kelantan misalnya, suami banyak bermain dam di pasar.
“Catur ini permainan orang putih, masyarakat akan menganggap baik kalau ia permainan orang putih. Kalau bermain dan menghabiskan masa, ia sama sahaja dengan dam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Harussani mengulas kenyataan Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah Al-Sheikh yang mengisytiharkan permainan catur sebagai haram di sisi Islam dalam sebuah video YouTube yang viral di kalangan pengguna Twitter di Arab Saudi.
Menurut Sheikh Abdul Aziz, catur dianggap haram kerana permainan tersebut membazirkan masa dan wang, serta mewujudkan permusuhan dan kebencian antara manusia.
Dalam pada itu kata Harussani, pengharaman catur sebenarnya sudah lama dibuat oleh Arab Saudi kerana corak permainannya yang berunsur pembunuhan serta menghina raja.
Bagaimanapun jelasnya, ia tidak diisytiharkan sama di negara ini kerana mempunyai pandangan dan pemahaman berbeza dari sudut feqah.
“Masa dahulu lagi sudah ada fatwa yang mengatakan catur ini haram tetapi kita tidak ada perbincangan mengenai isu ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, laman Twitter juga dipenuhi pelbagai pandangan mengenai isu pengharaman catur berkenaan.
Catur merupakan permainan yang dimainkan di Eropah semasa separuh abad kedua pada abad yang ke-15 selain dikatakan kini merupakan permainan yang paling popular di dunia.
Sementara dam asalnya merupakan permainan lama yang dipanggil Alquerque dan dimainkan sekitar abad ke-12 oleh orang Perancis. – AstroAwani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan