Sabtu, 23 April 2016

Perlis negeri paling panas

Stesen Meteorologi Chuping di Perlis mencatatkan bacaan suhu 37.2 darjah Celsius.
KUALA LUMPUR: Hanya Stesen Meteorologi Chuping di Perlis yang mencatatkan bacaan suhu melebihi 37 darjah Celsius hari ini berikutan cuaca panas akibat fenomena El Nino ketika ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam satu kenyataan berkata sehingga jam 4 petang semalam, Stesen Meteorologi Chuping di Perlis itu mencatatkan bacaan suhu 37.2 darjah Celsius.

Beliau berkata, tiga kawasan mencatatkan bilangan hari tanpa hujan melebihi 10 hari sehingga semalam ialah masing-masing 19 hari di Kota Baharu dan Machang, Kelantan serta 11 hari di Kudat, Sabah.

“Klang dan Kuala Selangor, Selangor; Kota Tinggi, Johor; Rompin, Pahang serta Kota Kinabalu, Sabah mencatatkan bilangan hari tanpa hujan selama tujuh hingga sembilan hari,” katanya.

Madius berkata, operasi pembenihan awan hari ini juga diadakan di beberapa kawasan.

“Operasi tersebut berjaya menghasilkan hujan di kawasan tadahan Bukit Larut, Perak; empangan Bukit Merah dan Air Kuning, Perak; empangan Sepri, Negeri Sembilan dan empangan Durian Tunggal, Melaka,” katanya.

– BERNAMA