Rabu, 24 Ogos 2016

120 kilogram emas untuk kelambu Kaabah

MAKKAH, Selasa – Waktu sejurus selepas Subuh setiap 9 Zulhijah merupakan saat-saat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam, terutama di kota penuh sejarah ini untuk menyaksikan upacara menukar Kiswah atau kelambu Kaabah baharu.

Menurut catatan sejarah upacara pemasangan Kiswah telah berlaku sejak sebelum kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW lagi.

Namun, ramai yang tidak mengetahui bagaimana Kiswah dihasilkan.

Petugas media Lembaga Tabung Haji (TH) yang berkesempatan melawat Kilang Kiswah Kaabah yang dibina pada 1977 oleh Bapa Pembangunan Arab Saudi, Al Malek Abdul Aziz bin Abdul Rahman, dimaklumkan pekerja memerlukan masa hingga enam bulan untuk menyiapkan sebuah Kiswah.

Jelas sekali, keindahan dan kehalusan seni sulaman Kiswah dengan ayat-ayat suci al-Quran tiada tandingan.

Ia dihasilkan dengan menggunakan benang emas dan perak menerusi sentuhan kira-kira hampir 100 penyulam pakar.

Pengurus Besar kilang berkenaan, Muhammad Abdullah Bajawda dalam taklimatnya memaklumkan bagi menghasilkan sulaman berkenaan, pihaknya menggunakan emas seberat 120 kilogram dan 120 kilogram perak yang disadur pada benang khas yang kesemuanya diimport dari Jerman.

“Seberat 670 kilogram benang sutera yang diimport dari Itali pula digunakan dalam menghasilkan pemidang Kiswah ini,” katanya menerusi penterjemah.

Muhammad berkata, tinggi Kiswah yang dihasilkan adalah lebih kurang 14 meter, ukuran lebar kain Kiswah daripada bahagian dua rukun (sudut) ialah 10.78 meter, ukuran lebar daripada bahagian Multazam ialah 12.50 meter.

“Manakala ukuran lebar kain Kiswah daripada bahagian Hajar Aswad ialah 10.50 meter manakala ukuran lebar kain Kiswah daripada bahagian Bab Ibrahim ialah 13 meter,” katanya.

Penghasilan setiap Kiswah membabitkan kos kira-kira RM24 juta.

Beliau berkata, proses penghasilan Kiswah bermula ketika mencelup warna dan dimasukkan ke dalam makmal bagi proses penegangan benang, daya tahan dan pergeseran benang-benang sutera bagi memastikan ia mengikut spesifikasi.

“Kemudian mesin berteknologi tinggi digunakan untuk menghasilkan pemidang kain Kiswah.

“Setelah siap, kain berkenaan akan dicop ayat-ayat al-Quran dengan menggunakan ‘silk screen’ dengan dakwat warna putih dan kuning termasuk lambang-lambang dan syiar yang berlainan ukuran,” katanya.

Proses berikutnya paling penting, iaitu menyulam benang emas dan perak pada huruf-huruf yang sudah dibentuk.

Seterusnya petugas akan menjahit kepingan-kepingan kain untuk dijadikan Kiswah lengkap.

Kiswah yang telah siap dengan sempurna akan diserahkan kepada pihak pengurusan Masjidil Haram kira-kira sembilan hari sebelum dipasang menggantikan yang lama pada binaan Kaabah. 

Bernama

Selasa, 16 Ogos 2016

Nyaris..... Ular sawa 'tenggek' dalam mangkuk tandas

KLANG – Hasrat seorang kanak-kanak ingin buang air kecil di tandas rumahnya terbantut selepas dikejutkan dengan kehadiran seekor ular sawa di dalam mangkuk tandas di Jalan Bukit Mertajam, malam tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu, reptilia sepanjang dua meter tersebut dipercayai masuk mengikut saluran septik tandas berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 8.08 malam dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang bergegas ke lokasi.

“Pasukan yang diketuai Ketua Operasi, Mawardi Ahmad mengambil masa 25 minit untuk mengeluarkan ular itu dengan menggunakan penjerut ular.

“Ular itu kemudian dilepaskan di tempat yang selamat,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kes ini.

MYNEWSHUB.CC

Ketum mendapat permintaan tinggi di Amerika dan Eropah - pengeksport

Seorang pengesksport daun ketum hari ini tampil mendakwa bahawa produk berasaskan daun ketum digunakan dengan meluas untuk ubatan alternatif di Amerika Syarikat dan Eropah sejak lebih 10 tahun.

Usahawan Ooi Teik Lee, 53, yang mengusahakan eksport bahan itu di Indonesia, juga mendakwa produk-produk tersebut telah dipatenkan oleh syarikat-syarikat farmaseutikal di AS yang mengeluarkannya.

"Saya terpaksa dedahkan maklumat ini kerana isu ketum menjadi topik hangat dibualkan oleh masyarakat (Malaysia) berikutan cadangan Pihak Berkuasa Pekebun-Pekebun Kecil Getah (Risda) untuk menanamnya secara komersial ditolak oleh kerajaan.

"Kita sebenarnya cuba menidakkan khasiat ketum apabila mengaitkannya dengan gejala tidak sihat. Khasiat tumbuhan ini menjadi rosak apabila ia dicampurkan dengan bahan-bahan terlarang, dan akhirnya ketum mendapat nama buruk," kata Ooi.

Beliau ditampilkan oleh Gabungan Setia Melayu Pulau Pinang, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib penanam-penanam ketum di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir pengerusi NGO tersebut, Mohd Ridzuan Ibrahim dan hampir 100 orang penanam berkenaan, kebanyakannya pekebun kecil getah dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, produk berasaskan daun ketum banyak berada dalam pasaran di AS dan Eropah antaranya dijadikan teh (uncang), kapsul untuk pelbagai penyakit dan juga jus.

"Ketum yang dieksport dilabelkan dengan nama kretom, tidak boleh nama lain kerana penyelidik barat menggunakan nama kretom. Jika tumbuhan ini memudaratkan seperti dadah sudah pasti AS dan Eropah mengharamkannya," tambahnya.

Ooi berkata beliau melantik wakil pengedar di Washington DC dan Florida dan turut menjadi laluan masuk ke Eropah.

Ooi berkata beliau menjalankan perniagaan mengeksport daun ketum (dalam bentuk daun kering dan serbuk) di Medan, Indonesia sejak 2008 kerana kerajaan negara tersebut tidak melarang penanaman dan pengeksportannya.

"Sebelum menjadikan Medan pusat operasi, saya menjadikan Pulau Pinang pusat eksport dengan mendapatkan bekalan daripada penduduk dari Kedah dan Perlis tetapi undang-undang negara menyekat usaha saya.

"Kebenaran eksport hanya perlukan surat izin kerajaan Indonesia," kata anak jati Pulau Pinang itu dan menambah Indonesia kini menjadi pengeksport terbesar ketum ke AS dan Eropah.

Ooi berkata selain mengusahakan ladang secara usahasama dengan pelabur di Medan, beliau membeli daun ketum daripada penanam tempatan namun enggan mendedahkan nilai eksport tahunan sejak mengeksportnya lapan tahun lepas.

Menurutnya harga eksport daun ketum yang dikeringkan seperti daun teh Cina atau diproses menjadi serbuk adalah antara USD50 hingga USD60 satu kilogram. (USD1 = RM4).

"Industri ketum sebagai herba dalam bidang perubatan sangat besar, bernilai berbilion ringgit dan berpotensi berkembang di Malaysia jika kerajaan memberi sokongan," tambahnya.

Katanya, beberapa syarikat farmaseutikal negara China menunjukkan minat untuk mendapatkan daun ketum sejak tahun lepas namun ia masih dalam peringkat rundingan.

Ooi berkata beliau turut dihubungi usahawan dua negara di timur tengah awal tahun ini untuk merundingkan eksport bahan berkenaan.

-- BERNAMA

Isnin, 1 Ogos 2016

Usia baru 4 tahun tapi rupa parasnya..........


MAGURA - BANGLADESH. Tidak pernah dibayangkan oleh pasangan Luvelu Hossain dan Tripti Khatun yang anak mereka Bayezid Hossain akan kelihatan seperti seorang datuk berusia 80 tahun.

Bayezid, yang dilahirkan pada 2012 lalu di hospital kerajaan di Magura, Bangladesh Selatan dikatakan menghadapi penyakit langka Progeria dan Cutis Laxa. Kini ketika baru berumur 4 tahun, dia sudah terlihat seperti orang tua.

"Saya merasa ketakutan melihatnya ketika dia dilahirkan. Dia seperti hanya memiliki daging serta tulang saja. Ia kelihatan seperti 'alien' dan itu membuat hati saya hancur," kata Tripti yang kini berumur 18 tahun.

"Doktor tak tahu apa yang harus mereka dilakukan. Mereka mengatakan mereka tak pernah melihat bayi sepertinya. Mereka memberitahu kami bahawa tidak ada yang dapat mereka lakukan," katanya lagi.

Umur mungkin tidak panjang

Malah apa yang lebih menyedihkan katanya, menurut doktor, buat masa ini tiada ubat yang boleh memulihkan keadaan Bayezid. Menurut doktor, usia Bayezid dijangka tidak akan melebihi 15 tahun

"Bayezid baru berjalan pada umur tiga tahun, tapi dia memiliki susunan gigi yang sempurna pada umur tiga bulan. Perkembangan fizikalnya sangat tidak normal, tapi secara mental dia mampu berbicara dengan baik," kata Tripti.

Dalam pada itu menurut Tripti, dia berharap anaknya sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti orang lain.

"Dia tidak kelihatan seperti anak-anak lain. Dia terlihat seperti orang tua. Sebagai anak sulung saya, saya tak boleh melihat anak saya dalam kondisi seperti ini," katanya.

- Mirror Uk.